Anggota bomba membantu mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit dalam lubang tandas. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba membantu mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit dalam lubang tandas. FOTO Ihsan Bomba
Omar Ahmad


Kulai: Seorang pelanggan sebuah kafe di Senai Utama di sini, terpaksa menahan sakit lebih sejam apabila tangannya tersepit dalam lubang tandas, semalam.

Difahamkan, tangan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu tersepit ketika cuba mengambil dompet yang terjatuh ke dalam lubang tandas terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai Mohd Fauzi Awang berkata, pemilik kafe cuba membantu melepaskan tangan lelaki itu daripada lubang tandas terbabit tetapi gagal sebelum menghubungi bomba.

"Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian 4.46 petang tadi (semalam). Tangan mangsa tersepit dalam lubang tandas itu lebih kurang 45 minit sebelum ketibaan bomba.

"Kami bertindak mengeluarkan tangan mangsa menggunakan peralatan khas dalam tempoh 40 minit kerana struktur lubang tandas dan keadaan mangsa," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk menerima rawatan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 12:09 AM