Lelaki warga Indonesia maut selepas traktor yang dinaikinya terbalik, manakala rakan cedera. FOTO IHSAN BOMBA
Lelaki warga Indonesia maut selepas traktor yang dinaikinya terbalik, manakala rakan cedera. FOTO IHSAN BOMBA
Omar Ahmad


Kulai: Seorang pekerja tapak binaan maut dihempap jentolak yang terbalik di kawasan pembinaan di Jalan Kelah, Kampung Sungai Kulai di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.29 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Bustaman Zaidin, 60, seorang warga Indonesia dan manakala pemandu jentolak, Wong Kwai Soon, 59, cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Awang berkata, kemalangan berlaku ketika dalam perjalanan ke tapak pembinaan itu selepas mengisi minyak.

Katanya, kenderaan berat itu tiba-tiba terbabas dan terbalik serta menghempap kedua-dua mangsa menyebabkan Bustaman meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu patah paha.

"Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian terpaksa menggunakan jengkaut yang berada di tapak pembinaan itu untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini dengan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai dengan sebuah jentera serta EMRS dikejarkan ke tempat kejadian.

Operasi menyelamatkan mangsa tamat pada jam 11.50 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 6:54 PM