Pekerja kontrak pembersihan yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan sedalam 10 meter di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. FOTO Ihsan Bomba
Pekerja kontrak pembersihan yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan sedalam 10 meter di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. FOTO Ihsan Bomba
Ibrahim Isa


PEKERJA kontrak pembersihan maut, selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan sedalam 10 meter di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), dekat Johor Bahru, tengah hari tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai, Abdul Malik Abdul Rahman berkata, menerima panggilan kecemasan pada jam 12.06 tengah hari dan sepasukan tujuh anggota termasuk seorang pegawai serta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

Katanya, ketika pasukan tiba di tempat kejadian, mereka dapati dua lelaki terbaring di kawasan berhampiran dengan mangsa berada di dalam lubang itu.

“Mangsa dikenali sebagai Abdul Basit, 20-an, berada di dalam lubang berkenaan dan anggota terpaksa turun ke dalam lubang untuk membawanya keluar.

“Disebabkan keadaan lubang itu sempit, kami terpaksa mengikat mayat menggunakan tali untuk menariknya ke atas sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Pada masa sama, dua rakan sekerja mangsa yang juga seorang warga tempatan berusia 35 tahun dari Gua Musang, Kelantan dan warga Indonesia berusia 44 tahun dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai, menggunakan ambulans LTAS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, difahamkan mangsa dan dua rakannya itu membuat kerja saluran kumbahan dan selepas sejam penutup lubang itu dibuka, mangsa masuk ke dalam namun tergelincir lalu terjatuh ketika kedudukan kira-kira 10 meter.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke HTSMTI.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 8:30 PM