GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Dua individu termasuk seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan invois yang mengandungi butiran palsu berjumlah melebihi RM80,000.

Kedua-dua suspek yang berusia 47 dan 55 tahun ditahan semasa hadir di pejabat SPRM Selangor tengahari tadi untuk membantu siasatan.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 47 tahun yang adalah pengarah teknikal sebuah syarikat teknologi maklumat dipercayai mengemukakan invois membabitkan kerja pendawaian elektrik kepada sebuah sekolah pada tahun 2020 sedangkan ia disyaki tidak dilaksanakan.

Menurutnya, kesalahan itu dilakukan bersama dengan seorang penjawat awam wanita berusia 55 tahun yang berkhidmat di sekolah terbabit.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kedua-dua individu tersebut akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk reman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 6:28 PM