GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu selepas dipercayai menerima wang suapan kira-kira RM18,000 daripada sebuah syarikat pembekal baja.

Sumber berkata, perbuatan itu dipercayai dilakukan seorang penjawat awam bersama seorang lagi suspek masing-masing berusia dalam lingkungan 50-an.

Ia sebagai balasan untuk membantu syarikat pembekal baja terbabit mendapatkan kerja membekalkan baja cecair organik bernilai lebih RM140,000 kepada sebuah pertubuhan peladang di Selangor.

Kedua-dua suspek ditahan kira-kira 3 petang tadi di pejabat SPRM Selangor.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 9:27 PM