OTHMAN. FOTO arkib NSTP
OTHMAN. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Faktor calon dan manifesto Barisan Nasional (BN) menjadi resipi kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.

Pengerusi Majlis Veteran Umno Malaysia Datuk Othman Desa berkata, selain itu, gerak kerja yang tersusun dan persediaan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) memberikan keyakinan kepada pengundi di negeri itu.

Katanya, agenda yang dibawa iaitu kestabilan masa depan begitu dekat di hati rakyat dan sampai masanya untuk mereka yang dipilih untuk 'buat kerja' kepada rakyat.

"Suka atau tidak, ini ialah cerminan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. Biar apapun alasan yang diberikan khususnya pembangkang, rakyat sudah membuat pilihan.

"Cuma jentera parti perlu bersungguh-sungguh buat kerja, tunaikan manifesto yang ditawarkan kepada pengundi. Menang tandanya orang percaya, dan kita teruskan buat kerja," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pada PRN Johor yang berakhir semalam, veteran Umno juga memainkan peranan penting, berkempen dan mendekati pengundi.

Katanya, paling aktif adalah veteran tuan rumah yang bertungkus lumus membantu calon sehingga ada beberapa kerusi yang sebelum ini milik pembangkang, kembali kepada BN.

"Saya gembira dengan perkembangan ini, ia baik untuk parti menuju PRU-15 nanti. Semangat dari kemenangan ini perlu diterjemahkan dengan khidmat terbaik kepada rakyat.

"Veteran Umno sentiasa menyokong. Kita mahu terus memberikan nasihat dan panduan berdasarkan pengalaman yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 9:31 PM