GAMBAR fail, Ismail Sabri. FOTO Bernama
GAMBAR fail, Ismail Sabri. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah satu kelebihan kepada Umno untuk terus bekerja dan memperkukuhkan parti.

Kedudukan sebagai pemimpin nombor dua negara adalah satu pengiktirafan dan peluang yang boleh digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Pengerusi Majlis Veteran Umno Datuk Othman Desa berkata, selain berperanan membantu kerajaan dalam urusan pentadbiran, ia juga perlu dilihat sebagai kelebihan kepada parti terutama untuk meneruskan tradisi membela rakyat.

Katanya, sebagai Naib Presiden Umno itu sudah pasti akan memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah rakyat termasuk menguruskan soal pandemik Covid-19 menerusi banyak cadangan yang dibuat parti sebelum ini.

"Veteran mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein atas pelantikan bagi mewakili Umno.

"Ia perlu dilihat dalam konteks kelebihan kepada Umno, kerajaan dan rakyat secara umum," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, ahli parti di segenap lapisan perlu menetapkan fokus parti untuk berdepan pilihan raya selain meneruskan agenda membantu rakyat tanpa dibelenggu rasa curiga atau tidak berpuas hati dengan pelantikan itu.

Katanya, sebagai sebuah parti yang tersusun sejak sekian lama, tidak timbul isu perpecahan di dalam parti kerana Umno meraikan kepelbagaian pendapat.

"Veteran Umno percaya Naib Presiden tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengelakkan perpecahan, membantu presiden mencari formula untuk bekerjasama mengukuhkan parti.

"Isu berlainan pendapat itu tetap ada dan hanya perlu diuruskan. Justeru veteran minta semua peringkat dalam parti untuk bertenang dan tidak menimbulkan spekulasi liar atau menghentam sesama sendiri.

"Kita perlu kukuhkan perpaduan sedia ada. Umno kena kuat untuk terus membantu rakyat dan negara. Veteran akan terus memberi pandangan demi kebaikan semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 5:44 PM