ISMAIL Sabri berucap pada Majlis Penyampaian Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia peringkat negeri Johor di Kompleks Sukan Komuniti Felda Lok Heng Kota Tinggi. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri berucap pada Majlis Penyampaian Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia peringkat negeri Johor di Kompleks Sukan Komuniti Felda Lok Heng Kota Tinggi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Tinggi: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu gerakan sukarelawan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sentiasa peka dan prihatin dengan perkembangan semasa, serta dekat di hati Keluarga Malaysia bagi mendepani isu dan cabaran dalam komuniti masa kini.

Beliau berkata Rukun Tetangga yang pada awal penubuhannya pada 1975 adalah sebagai wadah penyatuan masyarakat dan untuk memastikan keselamatan penduduk, kini fungsinya diperluaskan termasuk aspek mengukuhkan semangat kejiranan, keamanan, kebajikan dan kesejahteraan ekonomi.

Pada majlis penyerahan geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia peringkat negeri Johor di sini hari ini, beliau berkata kini terdapat 8,330 KRT di seluruh negara dan di Johor sahaja terdapat 837 KRT.

"Saya percaya ramai pernah menjadi ahli Rukun Tetangga. Saya juga pernah menjadi ahli Rukun Tetangga di kawasan komuniti saya. Disebabkan itu peranan KRT amat penting bagi memastikan keselamatan komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor 2022 di Kompleks Sukan Komuniti, Felda Lok Heng Barat, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata Kementerian Perpaduan Negara telah menyediakan hala tuju Rukun Tetangga yang jelas dan komprehensif melalui penyediaan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 untuk memberi khidmat yang benar-benar berkualiti dan cemerlang kepada Keluarga Malaysia.

Katanya Kementerian Perpaduan Negara juga telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif dalam mendukung semangat Keluarga Malaysia yang dilakukan melalui Gerak Kerja Komuniti Rukun Tetangga sehingga menyemarakkan keprihatinan Rukun Tetangga terhadap masyarakat yang terjejas dengan pelbagai musibah.

Sebagai contoh, kata beliau semasa negara berdepan dengan pandemik Covid-19, bantuan kotak makanan dihulurkan kepada warga Rukun Tetangga melalui inisiatif Program Skuad Uniti RT Cares selain keperluan kesihatan yang meliputi kerusi roda, katil perubatan dan keperluan lain yang bersesuaian dengan komuniti terbabit.

Ismail Sabri berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf dan menghargai jasa serta pengorbanan sukarelawan Rukun Tetangga yang bertindak sebagai barisan hadapan masyarakat untuk membantu kerajaan memastikan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti.

Perdana Menteri berkata pada tahun ini, kerajaan menyediakan Geran Rukun Tetangga sebanyak RM50 juta bagi memperkukuhkan peranan KRT dalam komuniti melalui pelaksanaan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga yang merangkumi Gerak Kerja KRT Sejahtera, Gerak Kerja KRT Selamat, Gerak Kerja KRT Sihat serta Gerak Kerja KRT Bersih dan Indah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 2:43 PM