Amir Abd Hamid


Ampang: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) semakin memperhebatkan usaha memastikan 248,000 ahli Komuniti Rukun Tetangga (KRT) membabitkan 8,330 KRT di seluruh negara mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, setakat ini seramai 40,000 ahli KRT sudah menunaikan tanggungjawab melakukan pendaftaran itu.

Beliau berkata, kempen juga sudah digerakkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

"Kita sudah menggerakkan kempen bersama KPKT dengan PBT dan dengan semua pihak. Kita ada mekanisme yang mewakili komuniti iaitu KRT dilancarkan serentak seluruh negara.

"Laporan terkini dikemaskini setiap hari mengenai jumlah pendaftaran untuk bersetuju diberikan vaksinasi. Ia dimulakan dengan ahli KRT seramai 248,000 ahli. Maklumat dikemaskini setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Majlis Ramah Mesra dan Taklimat Malaysia Prihatin Bersama Persatuan penduduk/KRT Parlimen Ampang di Kelab Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraidah Kamaruddin.

Pada masa sama, beliau berkata, KRT sebagai komuniti turut turun ke kampung bagi membantu pendaftaran vaksinasi itu.

" Masyarakat yang ada telefon pintar tiada masalah. Tetapi ada yang masih lagi tidak menggunakan telefon pintar jadi dia tak boleh daftar (bersetuju menerima vaksin Covid-19) dan ada juga yang tak faham macam mana nak daftar.

"Jadi, selain mendaftar gunakan aplikasi, kita juga berkempen membuat pendaftaran secara manual fizikal supaya gerakkan pendaftaran seramai mungkin yang akhirnya hasrat kerajaan untuk memberikan vaksinasi kepada 80 peratus menjelang akhir tahun ini kepada penduduk Malaysia akan dapat dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang meminta semua pihak supaya memberikan kerjasama kepada kerajaan melaksanakan program vaksinasi ke peringkat akar umbi sekali gus dapat mempercepatkan mereka untuk mendaftar menerima vaksin Covid-19.

Halimah (kiri) bersama Zuraida (tengah) hadir di majlis ramah mesra bersama Persatuan-Persatuan penduduk dan kawasan Rukun Tetangga Parlimen Ampang. FOTO Fathil Asri
Halimah (kiri) bersama Zuraida (tengah) hadir di majlis ramah mesra bersama Persatuan-Persatuan penduduk dan kawasan Rukun Tetangga Parlimen Ampang. FOTO Fathil Asri

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 4:11 PM