Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Episod penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia dan negara lebih setahun lalu menyerlahkan kepentingan Rukun Tetangga di kalangan masyarakat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan anggota Komuniti Rukun Tetangga (KRT) mempamerkan semangat kekitaan yang tinggi dan sentiasa saling bantu- membantu dalam komuniti masing-masing, dalam mendokong segala usaha kerajaan memerangi Covid-19, selari dengan semangat dan amalan Kita Jaga Kita.

"Saya berharap semangat kesukarelawanan ini dapat terus diperkasakan melalui penglibatan bersama Rukun Tetangga, Persatuan Penduduk, NGO-NGO, pemimpin komuniti serta generasi muda dalam aktiviti kemasyarakatan supaya ia dapat dibudayakan dalam komuniti kita.

"Sehubungan dengan itu, bagi memperkukuhkan usaha ini, saya dengan sukacita ingin mengumumkan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021," katanya ketika melancarkan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 dan Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021 yang disiarkan secara maya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Binti Mohamed Sadique.

Beliau berkata, pelan itu juga diharap dapat memperkasa peranan KRT di peringkat akar umbi menerusi kerjasama pihak kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan.

Pelan itu menggariskan lima teras strategik yang akan memacu Rukun Tetangga ke arah kecemerlangan dengan memperkasakan kepimpinan Rukun Tetangga sebagai pemangkin perpaduan dan khidmat komuniti sebagai tapak integrasi nasional, meningkatkan keselamatan dan keharmonian komuniti menerusi aktiviti kesukarelawanan, memantapkan peranan Rukun Tetangga dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti dan memperkasa kelompok komuniti.

Selain itu, Muhyiddin berkata, Empat Agenda Kerja KRT turut digariskan bagi meningkatkan keberkesanan inisiatif Rukun Tetangga.

Katanya, empat Agenda Kerja KRT itu ialah Agenda Kerja KRT Selamat, Agenda Kerta KRT Sihat, Agenda Kerja KRT Bersih dan Indah serta Agenda Kerta KRT Sejahtera.

"Agenda Kerja KRT Selamat yang akan digerakkan melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS), berperanan untuk meronda dan mengawal mana-mana premis atau lokasi di Kawasan Rukun Tetangga dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kedua, Agenda Kerja KRT Sihat, akan memberi penekanan kepada usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam komuniti hasil kolaborasi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui program bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat.

"Agenda Kerja KRT Bersih dan Indah pula menumpukan kepada program pembersihan dan pengindahan di kawasan komuniti dengan sokongan Kementerian Pembangunan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bawah pelaksanaan Program Local Agenda 21," katanya.

Muhyiddin berkata, Agenda Kerja KRT Sejahtera pula bakal mengenal pasti kumpulan rentan seperti ibu tunggal, golongan kelainan upaya, warga emas dan golongan kurang berkemampuan dan memberi bantuan melalui pelaksanaan inisiatif seperti Projek Ekonomi Rukun Tetangga dan Program Sayangi Komuniti.

Beliau berkata, peranan Rukun Tetangga perlu sentiasa didokong sebagai ejen dan penggerak usaha untuk menyatupadukan rakyat.

MUHYIDDIN pada majlis pelancaran Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 dan Anugerah Perdana Tetangga 2021 secara maya. FOTO Facebook Kementerian Perpaduan Negara
MUHYIDDIN pada majlis pelancaran Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 dan Anugerah Perdana Tetangga 2021 secara maya. FOTO Facebook Kementerian Perpaduan Negara

Justeru, katanya, beliau mahu mengajak anggota KRT bersama-sama mengenal pasti keperluan komuniti dan menangani isu-isu sosial di kawasan setempat untuk melahirkan sebuah komuniti yang sejahtera.

"Marilah kita berganding bahu dan menggembleng tenaga dalam menjayakan usaha murni ini supaya negara kita dapat merealisasikan agenda perpaduan nasional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 11:12 AM