Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Peranan Rukun Tetangga (RT) perlu didokong sebagai ejen dan penggerak usaha untuk menyatu padukan rakyat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru beliau mengajak rakyat mengenal pasti keperluan komuniti dan menangani isu-isu sosial di kawasan setempat untuk melahirkan komuniti yang sejahtera.

"Marilah kita berganding bahu dan menggembleng tenaga dalam menjayakan usaha murni ini supaya negara kita dapat merealisasikan agenda perpaduan nasional," katanya pada Majlis Pelancaran Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 dan Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021 hari ini.

Turut serta Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Muhyiddin berkata, pada masa ini terdapat 8,274 KRT di seluruh negara dengan keahlian 248,220 orang.

"Saya menyambut baik peningkatan penubuhan KRT ini kerana ia adalah petunjuk baik yang membuktikan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan peranan RT.

"Cabaran yang kita hadapi semenjak dunia dilanda wabak Covid-19 lebih setahun yang lalu menyerlahkan kepentingan RT di kalangan masyarakat," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Pada majlis sama KRT Taman Pandan Mewah Hulu Langat Selangor dipilih sebagai pemenang bagi Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan iaitu Jiran Wanita Terbaik yang dimenangi

KRT Taman Pandan Mewah Hulu Langat, Selangor, Jiran Muda Terbaik (KRT Kampung Tempasak, Papar, Sabah) dan Projek Ekonomi Rukun Tetangga Terbaik yang dimenangi KRT Taman Intan 2, Kluang Johor.

Manakala Projek Inovasi Rukun Tetangga Terbaik diungguli KRT Taman Intan Delima Seberang Perai Selatan Pulau Pinang, Anugerah Taska Genius Perpaduan Terbaik (Taska Genius Perumahan Kakitangan Awam (PKA) Bukit Kuda Labuan), Anugerah Tabika Perpaduan Terbaik (Tabika PerpaduanTaman Cengal Seremban Negeri Sembilan), Skim Rondaan Sukarela Terbaik (SRS Taman Bukit Rambai, Melaka) dan Pengurusan Rukun Tetangga Terbaik dimenangi KRT Taman Pandan Mewah Hulu Langat Selangor.

Berita berkaitan:

  • Covid-19 serlahkan kepentingan Rukun Tetangga
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 12:40 PM