GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus berkurangan kepada 8,107 orang pagi ini, berbanding 8,545 petang semalam.

Mereka daripada 2,664 keluarga itu ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu di Pasir Mas dan Tumpat.

Cuaca yang agak baik sejak semalam juga menyebabkan tiga PPS di Pasir Mas ditutup, berikutan paras air di rumah mangsa masing-masing surut.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir di Pasir Mas adalah 7,415 mangsa yang ditempatkan di 17 PPS dan mangsa di Tumpat seramai 692 orang di empat PPS.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan merekodkan 12 jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan dan kenderaan ringan iaitu lapan di Pasir Mas, tiga di Kuala Krai dan satu di Tumpat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 8:58 AM