SITUASI terkini banjir yang melanda Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, Kuala Nerus petang ini. FOTO Malik Muhamad
SITUASI terkini banjir yang melanda Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, Kuala Nerus petang ini. FOTO Malik Muhamad
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Enam daerah di Terengganu terjejas banjir, sejak kelmarin.

Dungun menjadi daerah terbaharu terjejas apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah, dibuka malam tadi, bagi menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.

Setakat 8 pagi, seramai 4,787 mangsa daripada 1,260 keluarga berada di 32 PPS.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, jumlah mangsa di daerah Kuala Nerus terus menunjukkan penambahan.

Seramai 1,695 mangsa daripada 445 keluarga berada di 14 PPS di daerah berkenaan. Ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya seramai 1,426 orang daripada 370 keluarga berada di 12 PPS, malam tadi.

Di Kuala Terengganu, lima PPS masih dibuka bagi menempatkan 1,137 mangsa daripada 332 keluarga.

Keadaan banjir di Marang juga semakin serius berikutan jumlah mangsa yang bertambah kepada 1,251 orang daripada 316 keluarga berada di tujuh PPS.

Seramai 673 mangsa di Besut berlindung di empat PPS, manakala jumlah mangsa di Setiu, kekal seramai lapan mangsa daripada tiga keluarga berada di satu PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 8:53 AM