Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini di peringkat akhir perbincangan berhubung kaedah pembelajaran yang akan digunakan apabila sesi persekolahan baharu 2022 bermula bulan ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya mengambil kira semua faktor untuk diteliti bagi mencari keseimbangan demi masa depan anak-anak.

Katanya, ia menjadi cabaran buat KPM untuk mencari pendekatan terbaik terutama jumlah vaksin di kalangan kanak-kanak masih rendah.

"Jika dulu ketika kita mengumumkan pembukaan sekolah untuk sekolah rendah, ramai ibu bapa tidak berpuas hati dan bimbang selain menggunakan alasan anak mereka belum divaksin dan kerajaan belum menyediakan vaksin.

Datuk Dr Radzi  Jidin pada sidang media selepas meninjau persiapan  peperiksaan SPM yang akan berlangsung esok di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media selepas meninjau persiapan peperiksaan SPM yang akan berlangsung esok di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Namun kini, apabila vaksin sudah ada, ibu bapa bertindak sebaliknya dan tidak membawa anak-anak mereka untuk divaksin menyebabkan jumlah bilangan kanak-kanak yang penerima vaksin masih rendah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan akhir pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang akan bermula esok di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di sini, hari ini.

Radzi berkata, sekiranya keadaan itu berterusan, agak sukar dalam konteks penggiliran sekolah di mana ibu bapa mahu anak mereka ke sekolah tanpa penggiliran supaya sentiasa dapat bersama dengan guru.

"Namun pada masa sama, bilangan vaksin masih rendah. Itu cabaran buat kami di KPM untuk mencari pendekatan terbaik.

"Semalam, saya ada berbincang dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung perkara ini dalam usaha memastikan anak-anak menerima vaksin termasuk di Kelantan.

"Justeru, KPM kini dalam peringkat akhir perbincangan berkaitan pendekatan yang akan diambil sebaik sahaja bermulanya sesi persekolahan 2022 bulan ini ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 2:06 PM