Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Pelajar sekolah menengah akan menjalani Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk tempoh dua minggu sehingga 4 April ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sesi akademik bagi penggal 1 bagi tahun 2022/2023 akan bermula pada 21 Mac ini di seluruh negara, namun pelajar di sekolah menengah hanya akan memasuki sekolah pada 4 April depan.

"Ini bermakna bermula 21 Mac sehingga 4 April, murid di sekolah menengah akan laksanakan PdPR, selepas tarikh itu, mereka kemudiannya akan menjalani pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran.

"Pelajar yang dinyatakan ini termasuklah murid berkeperluan khas (MBK), Tingkatan 1 hingga 6, Pra Universiti, International Baccalaureate Diploma Programme (BDP) dan peperiksaan setara," katanya dalam video yang dimuatnaik di Facebooknya, hari ini.

Radzi berkata, bagi murid di sekolah rendah yang mempunyai kapasiti murid melebihi 600 orang, hanya Tahun 3 sehingga Tahun 5 sahaja perlu hadir ke sekolah secara penggiliran.

"Bagi murid berkeperluan khas, penerima rancangan makanan tambahan (RMT), prasekolah, Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 6 pula, mereka perlu hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

"Ketetapan ini turut diguna pakai di sekolah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah bawah KPM.

"Bagaimanapun, sekolah swasta yang mempunyai enrolmen melebihi 600 murid boleh mengemukakan permohonan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya.

"Untuk sekolah rendah yang mempunyai kurang daripada 600 murid, semua pelajar sama ada di sekolah harian atau swasta akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 12:00 PM