Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri (lima dari kanan) melihat gambar rajah Rancangan Tebatan Banjir dan Pemuliharaan Muara Sungai Pahang. - Foto BERNAMA
Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri (lima dari kanan) melihat gambar rajah Rancangan Tebatan Banjir dan Pemuliharaan Muara Sungai Pahang. - Foto BERNAMA

Pekan: Kerajaan memperuntuk RM2 bilion untuk melaksanakan dua projek rancangan tebatan banjir (RTB) dan projek pemuliharaan muara Sungai Pahang dalam usaha mengurangkan masalah banjir setiap kali musim tengkujuh di negeri ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri berkata, dua projek tebatan banjir berkenaan ialah RTB Pekan dan RTB Kuantan yang setiap satu menelan belanja RM564 juta dan RM445 juta.

"Projek RTB Pekan yang bermula sejak 2011 kini hampir 50 peratus siap, manakala RTB Kuantan pula bakal dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-11 dengan tempoh pembinaan lima tahun.

"Projek pemuliharaan muara Sungai Pahang pula yang menelan belanja RM1.01 bilion kini 40 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada 2016," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dua hari di Pahang dan meninjau sendiri pelaksanaan projek RTB Pekan dan pemuliharaan muara Sungai Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, RTB Pekan dibangunkan bagi melindungi bandar Pekan dan sekitarnya daripada limpahan air Sungai Pahang selain meminimumkan kemusnahan harta benda awam, kehilangan nyawa dan masalah perhubungan jalan raya terputus akibat banjir. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 9:22 PM