Tuan Ibrahim Tuan Man ketika sidang media di Wisma Darul Iman. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Tuan Ibrahim Tuan Man ketika sidang media di Wisma Darul Iman. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Paras air di semua empangan di seluruh negara berada pada tahap normal walaupun negara kini berdepan musim kemarau.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan sentiasa memantau situasi terkini sumber air negara dan mendapati paras di semua empangan belum mencapai tahap membimbangkan sekali gus mampu menampung keperluan harian rakyat.

"Sekarang kita berdepan dengan musim panas tetapi pada tahun ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan keadaan kepanasan kita lebih rendah berbanding tahun lepas, kadar kelembapan (tahun ini) agak tinggi.

"Bagaimanapun, kita tetap memantau dan (ketika ini) keadaan air di empangan kita masih di paras selesa dan isu gangguan bekalan air yang dibangkitkan di Baling, Kedah baru-baru ini juga sudah diselesaikan oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Undi Perdana Kerja-kerja Di bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Bagi Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu Siri 1/20 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Untuk rekod, terdapat 104 empangan yang berfungsi menakung air di seluruh negara dengan 63 daripadanya berada di bawah pengurusan KASA.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Terengganu menerima peruntukan lebih RM1.5 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12 meliputi pelbagai projek pembangunan sungai, kawalan hakisan dan tebatan banjir.

Katanya, beberapa sungai di Terengganu termasuk muara Sungai Paka, Sungai Besut, Sungai Ibai, Sungai Merchang, Sungai Setiu dan Sungai Dungun akan dipelihara melalui projek pemuliharaan dianggarkan bernilai RM861 juta.

"Pada tahun ini, kerajaan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM7.5 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai bagi mengatasi risiko banjir di Terengganu.

"Daripada jumlah itu, RM4.8 juta membabitkan 103 projek di lapan daerah terdiri daripada kerja di bawah RM100,000 bagi kontraktor kelas G1 dan selebihnya akan dilaksanakan pada fasa kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 3:00 PM