Nazir Hussin Akhtar Hussin
Nazir Hussin Akhtar Hussin
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan harus membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan pengharaman buku 'Gay is Okay! A Christian Perspective.'

Ketua Pemuda Umno Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, walaupun buku itu berkenaan golongan gay, namun 'gay' dan liwat adalah sesuatu tidak dapat dipisahkan.

Justeru, katanya, keputusan Mahkamah Tinggi itu boleh memberikan gambaran berbeza dengan hasrat Parlimen di dalam penggubalan undang-undang berkenaan isu liwat.

"Jika dilihat dari sudut peruntukkan undang-undang sedia ada berkenaan aktiviti liwat, adalah suatu perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan satu kesalahan jenayah boleh dituduh dan dihukum mahkamah, tidak kira sama ada liwat itu dilakukan secara sukarela atau dengan paksaan.

"Hasrat Parlimen ini jelas dinyatakan di dalam Seksyen 377A, 377B dan 377C Kanun Keseksaan.

"Dengan kata lain adalah 'tidak OK' mengadakan hubungan sejenis di negara ini. Walaupun negara ini menolak sebarang diskriminasi terhadap seksual sejenis, namun kita bukan dalam posisi menggalakkan perbuatan tidak bermoral ini," katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, selain itu negara ini dibina atas asas Islam sebagai agama Persekutuan tidak seharusnya dicabar dengan penerbitan bersifat cuba menghakis keadaan itu.

Menurutnya, pemilihan tajuk 'Gay is Okay' adalah satu usaha untuk menghakis pemikiran sedia ada rakyat negara bahawa gay adalah sesuatu yang salah dan tidak bermoral.

"Penulis boleh sahaja menggunakan tajuk lebih baik seperti "Gay: A Christian Perspective", namun sudah tentu matlamat provokatif dan cita-cita beliau untuk menghalalkan kegiatan homoseksual di negara ini tidak tercapai.

"Walaupun Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin, menyatakan tiada bukti kandungan buku itu akan menimbulkan sebarang ketidaktenteraman awam, namun tajuknya sudah cukup menimbulkan kegusaran rakyat.

"Malahan ia terang-terangan melanggar undang-undang larangan seks luar tabie di Malaysia," katanya.

Selasa lalu penerbit dan penulis buku terbabit berjaya membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku itu, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin dalam keputusannya membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan penulis buku terbabit, Ngeo Boon Lin dan penerbitnya, Chong Ton Sin.

Perintah larangan ke atas buku itu dikeluarkan Menteri Dalam Negeri pada 27 November 2020 mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dengan alasan kandungannya yang mungkin memudaratkan ketenteraman, moral dan kepentingan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 7:03 PM