SUSPEK diiringi anggota polis selepas mahkamah membenarkannya ditahan reman bagi membantu siasatan kes meliwat seorang remaja lelaki OKU. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin
SUSPEK diiringi anggota polis selepas mahkamah membenarkannya ditahan reman bagi membantu siasatan kes meliwat seorang remaja lelaki OKU. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin
Hanneeyzah Bariah Baharin


SEORANG remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) dipercayai menjadi mangsa liwat seorang pegawai undang-undang pada Disember tahun lalu.

Kejadian malang menimpa mangsa berusia 19 tahun itu hanya diketahui ibunya, Ahad lalu selepas menerima mesej daripada bekas guru anak istimewanya itu memaklumkan mengenai video mengaibkan yang tular di laman sosial.

Sumber berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan tidak bermoral itu terhadap mangsa yang pekak dan bisu di sebuah hotel di bandar raya ini pada Disember tahun lalu.

Difahamkan, suspek berkenalan dengan mangsa yang ketika kejadian berusia 18 tahun di sebuah stesen bas ketika mahu membeli ‘vape’ yang dijual remaja berkenaan.

“Bekas guru mangsa memaklumkan kepada ibu remaja berkenaan berusia 41 tahun bahawa terdapat sebuah video mengaibkan membabitkan anak istimewanya itu yang tular di laman sosial.

“Bimbang video mengaibkan anaknya yang juga pemegang kad OKU terus tersebar dan menjejaskan nama baik keluarga, ibu mangsa membuat laporan polis pada Isnin lalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Susulan laporan dibuat, suspek berusia 34 tahun dari Pekan, Pahang ditahan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek ditahan reman hingga Selasa ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 4:01 PM