PPM Pelabuhan Klang merampas 750 karton rokok putih disyaki tidak bercukai dalam serbuan ke sebuah gudang di Puchong. FOTO Ihsan PPM
PPM Pelabuhan Klang merampas 750 karton rokok putih disyaki tidak bercukai dalam serbuan ke sebuah gudang di Puchong. FOTO Ihsan PPM
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Pemandu pertama meninggalkan lori membawa muatan rokok seludup dalam keadaan enjin masih hidup di satu lokasi sebelum ahli sindiket lain memandu lori itu ke gudang untuk dipindahkan.

Kemudian apabila kerja pemindahan sudah selesai, lori terbabit ditinggalkan di satu lokasi untuk diambil pemandu lori pertama.

Modus operandi itu dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang yang merampas 15 kotak berisi 750 karton rokok tidak bercukai menerusi serbuan ke sebuah gudang di Kampung Batu 9, Puchong, Jumaat lalu.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, gudang itu dikesan selepas risikan dilakukan hampir sebulan.

Beliau berkata, dalam operasi pada 1.30 tengah hari itu, sepasukan pegawai dan anggota sedang melaksanakan Ops Kontraband terserempak dengan sebuah lori dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai keluar dari sebuah gudang.

"Pasukan serbuan mengekori lori itu hingga memasuki simpang jalan mati di Kampung Pulau Meranti, Puchong sebelum pemandunya melarikan diri dan meninggalkan lori di tepi jalan selepas menyedari kehadiran pasukan serbuan.

"Pemeriksaan ke atas lori itu mendapati tiada muatan, malah pemandu gagal dikesan apabila melarikan diri ke kawasan semak.

"Pasukan serbuan kemudian memeriksa gudang berkenaan dan menemui rokok 15 kotak rokok putih disyaki tidak bercukai bernilai RM112,200 (termasuk cukai)," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Shamsol berkata, gudang itu dipercayai disewa untuk dijadikan transit sementara sebelum rokok diedarkan kepada peruncit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 1:59 PM