Antara minuman keras dan lori yang dirampas PPM di Segari di Manjung, hari ini. Foto Ihsan PPM
Antara minuman keras dan lori yang dirampas PPM di Segari di Manjung, hari ini. Foto Ihsan PPM
Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu merampas 2,442 botol minuman keras tanpa cukai bernilai RM761,580 dalam Ops Kontraban di Segari di sini, hari ini.

Turut ditahan empat lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dalam operasi pada 2.30 pagi melalui maklumat awam dan risikan sepasukan anggota Unit Risikan PPM.

Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya mengesan beberapa individu sedang memunggah kotak minuman keras daripada bot penumpang ke dalam sebuah lori lima tan.

Menurutnya, pemandu bot itu kemudiannya menyedari kehadiran pihak berkuasa dan terus melarikan diri, namun bot ronda PPM berjaya memintas bot itu di perairan Sungai Sempit, Segari pada 2.45 pagi.

"Pemandu lori berkenaan iaitu lelaki tempatan berusia 58 tahun berjaya ditahan, manakala dua lelaki tempatan dan seorang lelaki Bangladesh berusia lingkungan 45 hingga 48 tahun yang berada di dalam bot juga dapat ditahan," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Shamsol berkata, pemeriksaan lanjut dalam lori itu ditemukan botol minuman keras pelbagai jenama dan ia dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat bagi mengenal pasti dari mana bekalan itu diperoleh.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan termasuk lori, bot bersama dua enjin bot dan peralatan navigasi dianggarkan bernilai RM1.11 juta.

"Keempat-empat lelaki berkenaan direman lima hari bermula hari ini hingga 31 Januari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 10:40 PM