PESERTA melihat bingka sawit dihasilkan ketika program lawatan warisan di FELDA Pasoh Empat. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
PESERTA melihat bingka sawit dihasilkan ketika program lawatan warisan di FELDA Pasoh Empat. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Kuih bingka sawit mungkin juadah jarang didengar namun ia amat popular dikalangan masyarakat di tanah rancangan FELDA.

Pengurus Azliny Team Building Outdoor Adventure ( ATOA ) Norazlini Mohd Ali berkata, kuih bingka sawit adalah juadah enak dengan bahan utamanya adalah pati buah sawit yang direbus terlebih dahulu.

Menurutnya, keunikan kuih itu dihidangkan kepada 35 peserta lawatan warisan ke FELDA Pasoh Empat di sini, tadi.

Dia berkata, semua peserta dari kelab Damers Hod Ride turut dihidangkan dengan pelbagai juadah tradisional kampung seperti gulai pisang dan ikan bakar.

"Program dianjurkan bagi memperkenalkan warisan tradisional masyarakat tanah rancangan FELDA di mana ada antaranya hampir pupus akibat peredaran zaman seperti hidangan kuih bingka sawit.

"Mengukur kelapa juga antara aktiviti orang `lama' yang akan pupus selepas peralatan moden seperti mesin kelapa diperkenalkan. Suatu ketika dahulu, ia menjadi peralatan penting dalam setiap keluarga," katanya.

Berikutan itu, sebagai generasi baharu FELDA, dia mahu memperkenalkan semula pelbagai warisan yang ada kepada pengunjung luar.

Katanya program itu turut dimeriahkan dengan persembahan tarian selamat datang dan silat selain jual beli pantun.

"Demontrasi menghidupkan api menggunakan batu kuarza dan habuk muding selain memasak ayam dalam buluh antara yang ditunjukkan kepada peserta." katanya tadi.

Hadir sama pada program berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Pertang, Noor Azmi Yusof.

Presiden Damers Hod Ride, Syahrizal Nurlis berkata, kesemua ahli kelab sangat teruja dengan pelbagai aktiviti diadakan itu sepanjang percutian berkenaan.

Katanya, aktiviti bermanfaat itu memberi pendedahan kepada pengunjung untuk memahami warisan yang ada di sesuatu tempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 3:51 PM