Raja Noraina Raja Rahim


Putrajaya: Degil. Itu perkataan tepat menggambarkan sikap segelintir pengunjung yang masih merokok di kawasan premis makanan meskipun tanda larangan itu sudah dipamerkan di dalam premis.

Ada antara mereka yang dilihat menghisap rokok tanpa rasa bersalah di meja makan walaupun terdapat ramai pelanggan lain turut berada di dalam premis berkenaan.

Akibatnya, seramai 15 pelanggan menerima notis kesalahan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dalam Operasi Bersepadu di sekitar Putrajaya, malam tadi.

Operasi yang bermula 8 malam itu dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Pejabat Kesihatan Putrajaya serta Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, sebanyak 25 premis makanan di sekitar Bazaar 8, Ayer@8, Presint 8, Presint 9 dan Presint Diplomatik diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, sejumlah 15 notis kesalahan mengikut Peraturan 11 PPKHT 2004 dikeluarkan membabitkan nilai kompaun keseluruhan berjumlah RM3,750.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Bagaimanapun, tiada kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis mengikut Peraturan 12 PPKHT 2004. Kita lihat semua premis dilawati ada mempamerkan tanda larangan merokok," katanya dalam sidang media selepas operasi di sini, malam tadi.

Selain itu, Dr Norhayati berkata, pihaknya turut memberikan nasihat dan mengedarkan risalah berkaitan kesalahan merokok di tempat awam kepada 205 orang awam.

Beliau berkata, pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan individu yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk semua tempat makan boleh dikenakan kompaun RM250.

"KKM serius menangani masalah merokok dan akta baharu yang sedang digubal akan dibentangkan tidak lama lagi. Akta baharu itu turut melarang generasi lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya, memiliki serta membeli sebarang produk merokok," katanya.

Katanya, penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok di tempat makan akan dijalankan secara berterusan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan sebarang aduan berkaitan merokok di tempat awam boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-8608949.

Pada 1 Januari 2019, kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di kedai makan dan restoran terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 9:01 AM