MUHAMMAD Hariz Adlan Azman. FOTO Bowling Malaysia
MUHAMMAD Hariz Adlan Azman. FOTO Bowling Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad muda negara meraih pingat kelima pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-21, apabila Muhammad Hariz Adlan Azman menghadiahkan gangsa dalam acara All Event lelaki di Bangkok, Thailand hari ini.

Atlet berusia 19 tahun itu memenangi pingat itu selepas mengumpul keseluruhan 3,794 jatuhan pin untuk berada di kedudukan ketiga di belakang wakil Thailand, Vilinkorin Kiedkaew yang meraih emas dengan 3,880 jatuhan pin, manakala perak milik Lan Shao Kang dari Taiwan (3,828).

Sementara itu, Tsen Fan Yew, Muhammad Danial Abu Samah dan Syabil Azam Syamsul Azam, gagal menyerlah dalam acara berkenaan apabila terpaksa berpuas hati di tempat ketujuh, ke-15 dan ke-30, selepas masing-masing melakukan 3,723, 3,635 dan 3,478 jatuhan pin.

Pada Jumaat lalu, Muhammad Hariz meraih pingat perak acara individu lelaki, sebelum bergandingan dengan Tsen Fan Yew untuk turut merangkul perak acara beregu lelaki, sehari kemudian.

Satu lagi pasangan negara Muhammad Danial Abu Samah-Syabil Azam Syamsul Azam meraih gangsa dalam acara beregu lelaki.

Bagi acara All Event wanita yang turut berlangsung hari ini, Anis Hannani Romzi menjadi pemain terbaik negara selepas menduduki tempat kelima dengan 3,630 jatuhan pin.

Atlet Korea Selatan, Choi Yurin meraih emas apabila melakukan 3,798 jatuhan pin, manakala tempat kedua dimenangi rakan senegaranya, Oh Hyunji (3,704) sementara atlet Singapura Arianne Tay mengutip gangsa (3,635).

Pada Sabtu lalu, Malaysia merangkul emas pertama pada kejohanan itu dalam acara beregu wanita menerusi gandingan Nurul Anis Nabila Mohd Nizam dan Anis Hannani Romzi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 7:32 PM