Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tiada lagi advokasi, sebaliknya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan terus mengambil tindakan terhadap penjaja di bahu jalan mahupun persimpangan lampu isyarat di negeri ini.

Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata, tindakan diambil bukan untuk menyekat rezeki mana-mana pihak sebaliknya, demi keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain.

"Berniaga di tempat bahaya terutama di rizab jalan boleh mengundang kecelakaan dan nahas. Selama ini, hanya tindakan advokasi yang diambil, namun kita akan laksanakan penguatkuasaan dalam waktu yang terdekat ini," katanya.

Beliau ditemui pada Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Ipoh (U), Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, malam tadi.

Menurutnya, kesalahan menjaja tertakluk di bawah Kaedah 10A (1) dan Kaedah 10A (2) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Dalam pada itu, Mohammad Yusoff berkata, pihaknya belum dimaklumkan tempoh penguatkuasaan operasi empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) yang sebelum ini dilapor akan ditambah di Terowong Menora, Lebuhraya Utara Selatan di sini.

"Ia belum lagi bermula," katanya.

Media sebelum ini melaporkan empat kamera Awas, masing-masing dua akan dipasang sebelum serta selepas Terowong Menora bagi memantau dan mengurangkan risiko kemalangan di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 8:52 AM
MOHAMMAD Yusoff memeriksa lesen pemandu bas ekspres ketika Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Ipoh (U) Lebuhraya Utara Selatan, malam tadi. FOTO L Manimaran.
MOHAMMAD Yusoff memeriksa lesen pemandu bas ekspres ketika Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Ipoh (U) Lebuhraya Utara Selatan, malam tadi. FOTO L Manimaran.