Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusannya pada Isnin ini berhubung tindakan perundangan oleh Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) mencabar peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri mengkaji semula fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri itu.

Seorang peguam yang mewakili SIS, Surendra Ananth ketika dihubungi berkata, mereka menerima pemberitahuan daripada mahkamah hari ini yang memaklumkan tarikh keputusan itu.

Keputusan akan disampaikan secara dalam talian.

Pada 12 Oktober tahun lalu, panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menangguhkan keputusan mahkamah selepas peguam yang mewakili SIS dan Kerajaan Selangor selesai penghujahan mereka dalam kes itu.

Mahkamah mendengar hujahan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS dan Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib @ Hamid yang bertindak bagi pihak kerajaan Selangor serta peguam Zainur Zakaria dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang dibenarkan mencelah dalam kes tersebut.

Panel hakim itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Puan Sri Zaleha Yusof, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Pada 22 September tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada SIS untuk meneruskan tindakan perundangannya di Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

SIS memohon kebenaran itu untuk mendapatkan satu deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak sah.

Seksyen 66A menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah Enakmen ini.

SIS memfailkan permohonan itu pada 21 Januari 2020 dan menamakan Kerajaan Selangor sebagai responden selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakimannya untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 8:24 PM