MUSA Awang. FOTO Arkib NSTP
MUSA Awang. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mengambil pendekatan jangka panjang untuk meminda Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, bagi memberi kuasa kepada kerajaan negeri menggubal undang-undang bagi memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah Negeri.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, ia bagi menjalankan kuasa semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri, termasuk oleh jawatankuasa fatwa negeri.

Menurutnya, PGSM berpendapat semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat MAIN atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri termasuk jawatankuasa fatwa negeri sewajarnya dibuat oleh Mahkamah Syariah.

"Ini kerana ia forum yang sesuai dan kompeten kerana membabitkan pihak dalam kalangan orang Islam dan berpaksikan kepada hukum syarak.

"Bagi melaksanakan maksud pindaan itu, PGSM menggesa kerajaan untuk mewujudkan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri menyemak semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Mahkamah Persekutuan juga mengisytiharkan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan terbatal.

Seksyen 66A sebelum ini menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah boleh demi kepentingan keadilan atas permohonan mana-mana orang menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah enakmen itu.

Pada 21 Januari 2020, Forum Sister in Islam (SIS) memfailkan notis usul antara lainnya memohon deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 4:04 PM