Foto hiasan
Foto hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: "Semalam, adik ada mengemas rumah dan perbuatannya itu menimbulkan tanda tanya kerana sebelum ini dia seperti endah tak endah apabila saya minta tolong," kata Siti Suzelawati Ma'asor, 38.

Siti Suzelawati adalah kakak sulung kepada Allahyarham Muhammad Amirul Hafidz, 20, yang ditemukan lemas di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai dekat perkampungan Orang Asli di Kampar, Perak hari ini.

Turut ditemukan lemas adalah sahabat Muhammad Amirul Hafidz, Muhammad Fikri Adam Azmi juga berusia 20 tahun dalam kejadian pada 10 pagi itu.

Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakan mereka berkelah di kawasan air terjun berkenaan sebelum kedua-duanya lemas ketika mandi di situ.

Siti Suzelawati berkata, anak bongsu dari lima beradik itu berkelakuan pelik apabila bersungguh-sungguh mengemas rumah ibu mereka, Normah Sharip, 59, seolah-olah ingin menerima 'tetamu'.

"Tidak disangka bukan sahaja tetamu hadir ke rumah, malah kami turut menyambut kepulangan jenazahnya," katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di Jalan Pekan Parit Baru, Sungai Air Tawar di sini.

Dia berkata, Allahyarham juga sempat meminta maaf kepada Normah sebelum bertolak ke Perak.

"Ibu memaklumkan arwah sempat memeluk dan menciumnya sambil memohon maaf serta memohon supaya segala dosanya diampunkan.

"Walaupun sedih dan sukar mempercayai arwah sudah kembali ke pangkuan Ilahi, kami sekeluarga reda dan berdoa agar rohnya ditempatkan bersama orang beriman," katanya.

Siti Suzelawati berkata, Allahyarham disifatkan seorang yang mendengar kata dan mempunyai peribadi baik menyebabkan pemergiannya amat dirasai.

"Saya menerima berita pemergian arwah daripada adik perempuan pada 12.30 tengah hari ketika bersiap untuk mengajar di sebuah sekolah rendah agama di Bagan Nakhoda Omar (BNO).

"Saya terkejut dengan perkhabaran yang tidak disangka itu. Saya hanya berdoa supaya segala urusan dipermudahkan oleh Allah SWT," katanya.

Menurutnya, jenazah adiknya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru Baroh selepas selesai proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 6:18 PM