Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: "Arwah suami ada beritahu nak beli lembu untuk buat kenduri doa selamat masuk rumah baharu di sebelah rumah ibu saya sebaik dia pulang, tapi tak sangka hasratnya tidak tercapai," kata Siti Sofiah Md Yazid.

Siti Sofiah, 42, adalah isteri kepada Mohd Zaidi Ariffin, 45, yang ditemui lemas selepas treler dipandunya ditenggelami air di laluan berhampiran Simpang Desa Coalfields, Kuala Selangor, Selangor, semalam.

Dalam kejadian itu, Mohd Zaidi dikatakan cuba menyelamatkan diri, namun gagal apabila dia ditemui lemas pada 5.10 petang semalam.

Siti Sofiah berkata, arwah suaminya yang juga pemandu treler syarikat beras di Bukit Raya, Pendang sepatutnya pulang ke rumah mereka semalam, tetapi tak sangka suaminya pulang sebagai jenazah.

Katanya, suaminya akan pulang ke rumah seminggu sekali selepas menghantar beras, tetapi kali ini arwah tidak memaklumkan dia pergi ke mana.

SITI Sofiah isteri Mohd Zaidi Ariffin, 45, yang ditemui lemas di Kuala Selangor, semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SITI Sofiah isteri Mohd Zaidi Ariffin, 45, yang ditemui lemas di Kuala Selangor, semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Kali terakhir saya bertemu dengan arwah suami pada Ahad minggu lalu, tapi langsung tak nampak perubahan.

"Cuma dia beritahu hasratnya nak buat kenduri kerana rumah baru kami hampir siap sepenuhnya dan sepatutnya kami tinggal di rumah baharu bulan ini selepas sekian lama tinggal di rumah ibu saya yang terletak bersebelahan," katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Kubang Bemban, di sini, hari ini.

Siti Sofiah yang juga suri rumah mempunyai lima anak berusia antara dua tahun hingga 17 tahun dan bergantung sepenuhnya pada suami sebelum ini.

Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku walaupun tak sangka kejadian itu menimpa suaminya.

Jenazah mangsa dibawa dari Selangor tiba di kampungnya di sini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tandop Besar, Tekai Kanan pada 10 malam ini.

Sementara itu, ibu arwah, Saibah Ahmad, 65, berkata, dia reda dengan pemergian anak kedua daripada lima beradik itu walaupun tidak sempat berjumpa dengan arwah buat kali terakhir.

Katanya, minggu lalu arwah sempat berjumpa dengan adik lelakinya untuk mengirim wang RM200 untuk perbelanjaan harian dia dan suami.

"Arwah hanya memberitahu dia nak buat kenduri dan nak cari lembu, tapi tunggu dia balik.

"Tapi tak sangka dia pergi dulu namun mak cik reda," katanya.

Rakan sekerja arwah, Faizin Shawal, 58, berkata, dia terkejut apabila mengetahui Mohd Zaidi ditemui lemas ketika dalam perjalanan pulang ke Kedah apabila lori dipandunya ditenggelami air banjir.

Katanya, dia selalu bertemu dengan arwah dan perwatakannya sangat baik, namun dia hanya mengetahui kejadian menimpa arwah di tempat kerja mereka di Bukit Raya, Pendang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 10:44 PM