FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyalahgunakan kedudukannya ketika berkhidmat sebagai pengarah di sebuah kolej awam di sini.

Menurut sumber, suspek ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kira-kira 9 pagi, semalam.

Lelaki berusia 54 tahun itu dipercayai menggunakan jawatannya sebagai pengarah ketika berkhidmat di sebuah kolej awam di sini, antara 2017 hingga 2018 apabila meluluskan tiket penerbangan bagi isteri dan anaknya bernilai kira-kira RM6,000.

Difahamkan suspek menggunakan tiket kapal terbang itu bersama isteri dan anaknya ke Kuala Lumpur atas urusan kerja beberapa kali walaupun kelayakan sebenar suspek hanyalah setahun sekali sahaja.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek dilepaskan dengan Bon Jaminan SPRM dengan seorang penjamin.

"Suspek akan akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di Tawau bagi menjalani pertuduhan pada 24 Februari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 2:33 PM