CHEN Phang Yee (kiri) dan Law Shee Shee (tengah) menunjukkan salinan penyata bank dan laporan polis. FOTO Mary Victoria Dass
CHEN Phang Yee (kiri) dan Law Shee Shee (tengah) menunjukkan salinan penyata bank dan laporan polis. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pemilik restoran menanggung kerugian apabila simpanan dalam bank berjumlah RM55,020 lesap dalam tempoh kurang 24 jam melalui 16 transaksi pemindahan wang kepada individu tidak dikenali pada 10 Februari lalu.

Chen Phang Yee, 41, berkata, pada 11 Februari lalu dia mendapati akaun simpanan miliknya disekat dan apabila menghubungi pihak bank dia dimaklum akaun banknya bermasalah.

Katanya, dia ke cawangan bank berkenaan di Permas Jaya di sini, bagi mendapatkan penjelasan sebelum terkejut dimaklumkan baki dalam akuan simpanannya berkurangan RM55,020 menerusi transaksi sebanyak 16 kali.

"Saya tidak pernah mengenali individu yang menjadi penerima wang dipindahkan daripada akaun saya itu.

"Wang berkenaan adalah hasil jualan rumah lama dan sepatutnya saya guna untuk beli perabot dan ubahsuai rumah baru kami. Timbul persoalan bagaimanapun tanpa kebenaran atau makluman, wang dari akaun saya dapat dipindahkan secara mudah dan ia membabitkan jumlah wang yang banyak kerana had pemindahan harian ditetapkan adalah RM30,000 sahaja," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Permas Jaya di sini pada 11 Februari lalu.

Chen turut mengadu masalah kepada Pengerusi Pengaduan Awam Amanah Johor, Syed Othman Syed Abdullah di Pejabat Amanah Pasir Gudang di Taman Sierra Perdana di sini, hari ini.

Sementara itu Syed Othman berkata, pihaknya menerima dua kes kehilangan wang daripada akaun bank membabitkan nilai keseluruhan RM80,020.

Menurutnya, kes kedua membabitkan seorang juru jual dari Permas Jaya yang kehilangan RM25,000 pada 26 Januari lalu.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia angkara sindiket penipuan atau 'scammer'.

"Bagi kes kedua, mangsa berusia 44 tahun menyedari baki akaunnya berkurangan pada 8.30 malam pada 27 Januari lalu.

"Dia mendapati berlaku pemindahan wang ke akaun e-wallet sebanyak 13 kali dalam tempoh kira-kira setengah jam pada 26 Januari dan dia membuat laporan polis di Balai Polis Permas pada 27 Januari lalu.

"Malangnya pengurusan bank bersikap berdolak-dalik dalam mengatasi kekeliruan yang timbul dan enggan bertanggungjawab terhadap kehilangan wang.

"Wang itu adalah hak pemiliknya dan kelemahan sistem keselamatan bank tidak seharusnya menimbulkan kesulitan seumpama ini dan sekiranya ia perbuatan scammer, pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada kedua-dua mangsa.

Beliau berkata, siasatan juga dijalankan dan pihaknya turut merujuk pengaduan kepada pengurusan bank.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 4:13 PM