GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Essa Abu Yamin


Muar: Seorang pesara perkhidmatan awam berputih mata apabila wang simpanan RM1.34 juta miliknya lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, wanita berusia 74 tahun itu mendakwa ditipu sindiket Macau Scam yang menghubunginya serta memperkenalkan diri sebagai petugas perkhidmatan pos dan anggota polis, Mei lalu.

Beliau berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada individu mendakwa pegawai perkhidmatan pos menyatakan ada penghantaran mengandungi kad pengenalan, kad bank dan buku cek milik orang lain yang menyalahi undang-undang dikirimkan kepada mangsa.

Menurutnya, panggilan telefon seterusnya disambungkan kepada suspek lain yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis kemudian menakutkan mangsa menyatakan terbabit dalam jenayah penipuan dan kegiatan haram.

Katanya, mangsa kemudian diarahkan untuk memberikan butiran perbankan termasuk akses perbankan dalam talian akaun bank tempatan miliknya atas alasan untuk diaudit.

"Oleh kerana takut diambil tindakan, mangsa mengikut segala arahan suspek untuk memindahkan wang simpanannya dan bayaran tunai ke kedua-dua akaun yang didedahkan itu atas alasan yang sama.

"Kelmarin mangsa membuat semakan kedua-dua akaun bank miliknya yang didedahkan kepada suspek sebelum ini dan mendapati wang berjumlah RM1,342,459.70 sudah dipindahkan kepada pihak lain tanpa pengetahuannya," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Muhammad Aidil Roneh berkata, siasatan awal mendapati nombor telefon yang digunakan suspek untuk berhubung dengan mangsa pernah digunakan dan terbabit dengan beberapa kes lain yang dilaporkan pada tahun ini.

"Polis menyeru dan menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan melalui telefon," katanya dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 10:11 PM