Raja Noraina Raja Rahim


PEMANDU treler yang menyebabkan kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Kilometer 270.3 Lebuh Raya PLUS arah selatan, dekat Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, dipercayai melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, pemandu treler tanpa muatan itu masih gagal dikesan setakat malam ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati treler dari arah Seremban ke Nilai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Ia kemudian merempuh Perodua Alza dinaiki dua mangsa yang bergerak di laluan bertentangan. Dua lagi kereta iaitu Proton Preve dan Waja turut terbabit kemalangan itu.

“Kedua-dua mangsa Lau Lian Huat, 62, dan Lim Ah Gim, 60, maut di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang Proton Preve iaitu Azian Saleh, 45, dan Abdul Rahim Ramlee, 52, serta pemandu Waja, Mohammad Tahir Othman, 51, cedera,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan:

Ajal suami isteri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 11:37 PM