KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan dalam kejadian di kawasan selekoh di Kilometer 13, Jalan Jamaluang di sini, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan dalam kejadian di kawasan selekoh di Kilometer 13, Jalan Jamaluang di sini, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


LELAKI maut, manakala lima yang lain cedera selepas dua kenderaan terbabit kemalangan dalam kejadian di kawasan selekoh, Kilometer 13, Jalan Jamaluang di Mersing, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kejadian 10.30 malam itu mengakibatkan mangsa, Sah’ Har Putra Ibrahim, 54, yang memandu Proton Saga maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan dipandu mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru ke bandar ini.

“Ketika melalui kawasan selekoh yang tidak mempunyai lampu jalan, terdapat Perodua Alza dari arah bertentangan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan mangsa.

“Akibat pertembungan itu, pemandu Proton Saga yang beralamat di Kampung Sri Pantai di sini, parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mangsa kedua-dua kenderaan yang turut mengalami kecederaan dirujuk ke Hospital Mersing bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Amir Hamzah Aris berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 10.30 malam.

“Setibanya di lokasi kami dapati dua kenderaan iaitu Perodua Alza dan Proton Saga terbabit kemalangan akibat bertembung.

“Proton Saga dari arah Jamaluang ke Mersing, manakala Perodua Alza dari arah bertentangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 12:14 PM