Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sumpah laknat dilakukan seorang wanita berhubung dakwaan kes gangguan seksual Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sedili, Rasman Ithnain, semalam, tidak mengganggu siasatan polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sumpah laknat itu adalah hak peribadi pengadu, yang tidak akan mengganggu siasatan polis yang dilakukan secara adil dan saksama.

"Kes terbabit masih dalam siasatan dan ada beberapa perkara lagi yang perlu dikemaskan.

"Berhubung sumpah laknat, itu hal peribadi dia. Siasatan tetap akan diteruskan secara adil dan saksama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan wanita berusia 27 tahun membuat pengakuan bersumpah berhubung dakwaan kes gangguan seksual membabitkan Rasman.

Pada 17 Januari lalu, laporan polis terhadap Rasman dibuat pengadu mendakwa dia diganggu secara seksual oleh Adun terbabit ketika aktiviti bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Sungai Ara, Mersing dan Bukit Kepong, Muar, baru-baru ini.

Pada 18 Januari, Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 11:16 AM