RASMAN Ithnain.
RASMAN Ithnain.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sedili, Rasman Ithnain menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang wanita yang membuat laporan polis yang mendakwa diganggu secara seksual, semalam.

Rasman berkata, tuduhan berkenan adalah bukan sahaja satu konspirasi politik, malah fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi beliau selaku seorang wakil rakyat.

"Pada 17 Januari, kira-kira jam 2 petang iaitu semalam, saya dimaklumkan bahawa terdapat satu laporan polis telah dibuat terhadap saya oleh seorang individu yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Betsatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi.

"Saya dengan ini menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan di dalam laporan itu. Ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi saya selaku seorang wakil rakyat.

"Saya juga bersedia untuk memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

"Saya juga sudah berbincang dengan barisan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imej saya seperti ini," katanya dalam kenyataan, tengah malam tadi.

Malam tadi, Bernama melaporkan, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang Adun Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan dakwaan salah laku Adun terbabit, terhadap wanita berumur 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi kira-kira 11.30 pagi.

Sementara itu, Rasman menegaskan menegaskan konspirasi politik seperti itu tidak akan sekali-kali melemahkan semangat beliau untuk terus berjuang dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya melalui mandat rakyat.

"Semoga kebenaran akan dirungkai akhirnya serta perjuangan saya ini dimudahkan dan diredai oleh Allah SWT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 8:08 AM