Essa Abu Yamin


Muar: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan wanita, Januari lalu.

Rasman Ithnain, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita, 27, dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Mengikut pertuduhan, kesalahan dilakukan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di sini, kira-kira 5 petang, 13 Januari lalu.

Tertuduh yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Tinggi didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana daripada dua seksaan itu.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan jaminan RM 5,000.

Peguam tertuduh, Muhammad Mohd Nasir dan Muhammad Izzad Syafiq Ismail bagaimanapun mencadangkan jumlah dikurangkan kerana anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan polis.

Majistret Amalina membenarkan jaminan RM 4,000 dengan seorang penjaminan dan menetapkan 3 Julai ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Mahkamah turut menetapkan 16 hingga 18 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 11:22 AM