Solihan (kiri) menyempurnakan simbolik program Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baru Cina di PUSPAKOM Senai. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Solihan (kiri) menyempurnakan simbolik program Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baru Cina di PUSPAKOM Senai. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


Kulai: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mencalonkan semula Rasman Ithnain bagi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sedili pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekiranya didapati bersalah berhubung kes gangguan seksual.

Ketua Penerangan Bersatu Johor Mohd Solihan Badri berkata, sehingga kini kes itu masih dalam siasatan polis, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan belum dibuktikan bersalah.

"Ini masih kes polis dan kalau terbukti bersalah kita akan ambil tindakan secara politically (dari segi politik).

"Kita tidak akan ambil calon yang terbukti bersalah," katanya yang juga Adun Tenang selepas ketika ditemui di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Senai, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, tular laporan polis yang dibuat mangsa berusia 26 tahun mengenai gangguan seksual itu di media sosial.

Pada 17 Januari lalu, Rasman menafikan tuduhan beliau melakukan gangguan seksual terhadap seorang Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu Bahagian Kota Tinggi.

Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi menerusi kenyataan berkata, pihaknya menafikan dakwaan terbabit, selain memaklumkan ia adalah konspirasi politik dan cubaan mencalarkan reputasinya sebagai seorang wakil rakyat.

Susulan laporan polis yang turut dibuat Rasman, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, pihaknya sudah memanggil 11 individu bagi diambil keterangan berhubung kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 2:39 PM