Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Siasatan kes gangguan seksual membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain dengan seorang wanita yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi BERSATU, Bahagian Kota Tinggi, dijangka lengkap minggu ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata setakat ini polis sudah memanggil beberapa individu untuk dirakam keterangan berkaitan dakwaan kes itu.

Katanya, ADUN berkenaan serta wanita yang mẹmbuat laporan itu juga sudah dipanggil untuk dirakam keterangan mereka bagi melengkapkan siasatan yang dijalankan.

"Setakat ini, siasatan masih berjalan dan beberapa individu telah kita panggil untuk merakam percakapan berhubung kes ini.

"Kita masih lagi menyiasat, insya-Allah siasatan dilakukan secara adil dan mungkin memerlukan masa dua tiga hari lagi untuk selesaikan siasatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang ADUN Johor.

Bagaimanapun, Rasman menerusi kenyataan pada tengah malam Selasa, menafikan tuduhan itu dan mengatakan ia adalah konspirasi politik dan cubaan untuk menjatuhkan maruahnya serta mencalarkan reputasinya selaku seorang wakil rakyat.

DATUK Kamarul Zaman Mamat. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
DATUK Kamarul Zaman Mamat. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 2:06 PM