Polis sedang melakukan siasatan di sebuah bank selepas mesin pengeluaran wang automatik (ATM) cuba dipecahkan. FOTO IHSAN PEMBACA
Polis sedang melakukan siasatan di sebuah bank selepas mesin pengeluaran wang automatik (ATM) cuba dipecahkan. FOTO IHSAN PEMBACA
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Cubaan lelaki melarikan wang di dalam mesin juruwang wang automatik (ATM) sebuah bank di Chendering, di sini, gagal apabila alat penggera premis terbabit berbunyi, hari ini.

Sumber berkata, dalam kejadian pada 3.55 pagi, suspek memasuki premis berkenaan dengan mengumpil pintu bank menggunakan besi.

Katanya, lelaki itu berusaha mengumpil mesin ATM terbabit dengan menggunakan besi, namun alat penggera bank berkenaan berbunyi.

"Suspek kemudian melarikan diri dan polis yang menerima panggilan daripada pusat kawalan bank berkenaan bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan lanjut.

"Pemeriksaan polis pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek cuba memecah mesin ATM di bank berkenaan, tetapi gagal," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 7:34 PM