SUM menunjukkan tukul dan pahat yang digunakan suspek untuk  memecahkan mesin ATM.
SUM menunjukkan tukul dan pahat yang digunakan suspek untuk memecahkan mesin ATM.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Cubaan seorang lelaki memecahkan mesin ATM di sebuah bank di Bercham, di sini, Selasa lalu, menggunakan tukul dan pahat bukan saja gagal selepas alat penggera berbunyi, malah dia ditahan polis tidak lama kemudian.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, suspek berusia 43 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pemotong ayam cuba memecah mesin ATM berkenaan dengan hanya menggunakan tukul serta pahat.

Bagaimanapun, suspek gagal mengambil wang akibat panik selepas penggera bank berbunyi.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, anggota Balai Polis Bercham bergegas ke bank selepas menerima panggilan daripada syarikat keselamatan yang memaklumkan penggera berbunyi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek yang baru keluar dari bank ditahan dan pemeriksaan lanjut menemui satu tukul besi dan pahat dipercayai digunakan untuk memecah mesin ATM.

Menurutnya, anggota melakukan pemeriksaan di dalam bank dan mendapati pintu bahagian bawah mesin ATM terbuka serta terdapat kesan umpilan dipercayai dilakukan suspek.

“Semakan daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati perbuatan itu dilakukan suspek dan dia direman untuk siasatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati dia negatif dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 9:08 AM