ANGGOTA polis masih menjalankan siasatan dalam kejadian cubaan melarikan mesin ATM.
ANGGOTA polis masih menjalankan siasatan dalam kejadian cubaan melarikan mesin ATM.
Oleh Alias Abd Rani


Miri: Dua penjenayah kempunan apabila cubaan melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mengandungi wang tunai RM300,000 gagal selepas alat penggera berbunyi di sebuah bank di Permyjaya, di sini, semalam.

Kejadian pada jam 5.10 pagi apabila dua lelaki bertopeng itu memasuki bank berkenaan sebelum mengumpil satu ATM menggunakan kuku kambing.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, sebaik berjaya mengumpil, mereka mengikat mesin berkenaan menggunakan kabel untuk menariknya keluar.

“Bagaimanapun, ketika cuba menarik, kabel itu terkena pintu kaca dan pecah menyebabkan alat penggera berbunyi. Disebabkan itu suspek melarikan diri dan meninggalkan kabel masih terikat pada mesin terbabit.

“Siasatan awal mendapati suspek turut melarikan kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di luar premis berkenaan dipercayai untuk menghapus bukti,” katanya.

Gan berkata, rakaman CCTV daripada dalam premis berkenaan mendapati, dua penjenayah berpakaian gelap serta bersarung tangan memasuki premis itu.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:13 AM