GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Tidak sampai 24 jam, polis menahan lelaki warga asing dipercayai cuba memecah sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Chendering, di sini, semalam.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan di Pekan Chabang Tiga, di sini, kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian pada 6 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 3.55 pagi semalam.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati bahagian penutup atas sebuah mesin ATM sudah dibuka.

"Bagaimanapun, bahagian peti simpanan wang dalam mesin berkenaan gagal dibuka dan tiada kerugian wang tunai.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Portal Harian Metro semalam melaporkan cubaan seorang lelaki mencuri wang di dalam mesin ATM di sebuah bank di Chendering gagal apabila alat penggera premis terbabit berbunyi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 12:49 PM