Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jumlah pendaftaran kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Terengganu masih rendah.

Ia berikutan hanya 12 peratus atau 21,901 orang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kids).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu Dr Alias Razak berkata, jumlah itu masih rendah berbanding seramai 124,206 orang yang disasarkan untuk menerima suntikan berkenaan.

Menurutnya, pemberian vaksin itu bertujuan melindungi golongan berkenaan daripada mortaliti dan morbiditi akibat jangkitan Covid-19 serta membolehkan kanak-kanak menjalani aktiviti harian dengan lebih selamat terutama aktiviti di luar rumah dan tempat belajar.

"Ia juga bertujuan mengurangkan risiko penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain yang tidak layak menerima vaksin Covid-19.

"Pemberian vaksin untuk kanak-kanak ini akan mengurangkan kemungkinan mereka untuk mendapatkan jangkitan serius atau mengalami komplikasi jangka panjang akibat jangkitan Covid-19.

TIGA beradik, Nazriel Ariqin  Kamarul Azhar, 5 (tengah),   Nazeef Audric, 9 (dua kiri) dan Nurlisa Maureen, 6 ketika menjalani suntikan Vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) Peringkat Negeri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).  FOTO Ghazali Kori
TIGA beradik, Nazriel Ariqin Kamarul Azhar, 5 (tengah), Nazeef Audric, 9 (dua kiri) dan Nurlisa Maureen, 6 ketika menjalani suntikan Vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) Peringkat Negeri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). FOTO Ghazali Kori

"Untuk rekod, PICK Kids ini bermula pada 3 Februari lalu dan di Terengganu, ia bermula secara rasmi hari ini apabila seramai 20 kanak-kanak menjadi kumpulan pertama menerima suntikan Covid-19," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran PICKids Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Pusat Rawatan Harian Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong.

Dr Alias berkata, sebanyak 141 pusat pemberian vaksin (PPV) dibuka di seluruh Terengganu bermula esok bagi menjayakan PICKids.

Katanya, ia membabitkan enam PPV di hospital, 24 PPV di klinik kesihatan, 39 PPV klinik swasta lapan PPV 'off site' dan 64 PPV sekolah.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dalam melaksanakan PPV di sekolah dengan sasaran seramai 110,000 kanak-kanak akan menerima vaksin di sana.

"Selain itu, kita turut mengenal pasti seramai 7,200 kanak-kanak tergolong dalam kumpulan komobid dan berisiko tinggi dan mereka perlu mengambil vaksin di PPV hospital bagi memudahkan pemantauan dibuat," katanya.

Dr Alias turut menyeru ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak berusia antara lima hingga 11 tahun untuk membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin Covid-19 sama ada melalui PPV sekolah atau mendaftar melalui MySejahtera.

"Dengan kewujudan gelombang Omicron ketika ini, kita melihat kenaikan kes yang mendadak dari sehari ke sehari dan kanak-kanak adalah golongan rentan yang paling terdedah kepada jangkitan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 4:32 PM