Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Ibu bapa atau penjaga diharap membenarkan anak mereka diberikan vaksin menerusi

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), dengan meletakkan keselamatan anak mereka sebagai keutamaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, keperluan mengambil vaksin ketika ini lebih mendesak susulan gelombang varian Omicron yang menunjukkan peningkatan kes positif.

Beliau berkata, pemberian vaksin bukan hanya untuk melindungi mereka tetapi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan pihaknya menyeru ibu bapa dan penjaga tampil membawa anak mereka untuk disuntik.

"Sehingga kini seramai 8,591 orang atau 4.8 peratus kanak-kanak berusia antara 5 hingga 11 tahun sudah menerima suntikan dalam tempoh bermula 8 Februari hingga semalam di Terengganu.

"Kita menyasarkan seramai 124,206 orang menerima suntikan ini dengan 98,146 orang bagi kumpulan umur 7 hingga 11 tahun manakala seramai 26,060 kanak-kanak bagi kumpulan umur 5 dan 6 tahun.

ANTARA kanak-kanak yang hadir bagi PICKids di Dewan Serbaguna Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran. FOTO GHAZALI KORI
ANTARA kanak-kanak yang hadir bagi PICKids di Dewan Serbaguna Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran. FOTO GHAZALI KORI

"Kita tidak nafikan jumlahnya masih rendah tetapi kita yakin di Terengganu ini, mereka suka mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Insya-Allah, mereka akan menerima dan tampil membawa anak masing-masing dan kita sendiri (Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu) akan terus meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan vaksinasi ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Kasemani berkata, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak berusia antara lima hingga 11 tahun boleh mendaftarkan anak mereka melalui aplikasi MySejahtera atau menghubungi pihak sekolah berkaitan janji temu suntikan.

Katanya, pendaftaran juga boleh dibuat dengan menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah atau pusat pemberian vaksin (PPV) klinik kesihatan berhampiran selain berhubung dengan pihak klinik pakar di hospital berdekatan bagi kanak-kanak yang mempunyai komorbid dan menjalani rawatan susulan di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 7:05 PM