Dr Noor Azmi bersama Dr Sim ketika lawatan ke  Pusat Pemberian Vaksin PICKids di Klinik Kesihatan Batu Kawa. FOTO Nadim Bokhari
Dr Noor Azmi bersama Dr Sim ketika lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin PICKids di Klinik Kesihatan Batu Kawa. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah akan dibuka di seluruh negara bermula selewat-lewatnya Isnin depan bagi pelaksanaan Program Imuninasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pemberian vaksin bagi kanak-kanak 5 tahun hingga 11 tahun amat penting bagi melindungi mereka daripada risiko jangkitan Covid-19.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan 70 peratus kanak-kanak yang layak akan mendapat dos pertama dalam tempoh dua bulan pertama ini dan lengkap dua dos dalam tempoh enam bulan menerusia pelaksanaan PICKIDS.

"Sebab itu kita akan memulakan PPV di seluruh sekolah selewat-lewatnya 14 Februari ini supaya kita dapat mencapai sasaran 70 peratus atau 2 juta anak-anak yang sudah kembali ke sekolah menerima vaksin.

"KKM prihatin dengan keselamatan anak-anak dan mengambil langkah awal melaksanakan PICKids kerana kajian mendapati 90.7 peratus adalah efektif," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan bagi meninjau pelaksanaan Program Imuninasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Klinik Kesihatan (KK) Batu Kawa, di sini, hari ini.

Mengiringi beliau dalam lawatan itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, vaksinasi kanak-kanak ini amat penting untuk membolehkan mereka bergerak dengan selamat ketika pandemik Covid-19 masih membelenggu negara.

"Mereka sudah bergerak ke mana-mana kerana sekarang kerana sudah kembali ke sekolah, ibu bapa yang bercuti pula tentunya membawa bersama anak-anak, pergi kenduri kahwin pun membawa bersama anak-anak," katanya.

Beliau berkata, daripada 62,809 kanak-kanak yang sudah berumur antara 5 tahun hingga 11 tahun di seluruh negara yang sudah menerima dos pertama menerusi PICKids sehingga semalam, 12,301 adalah di Sarawak.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 1:52 PM