Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia tidak terburu-buru beri vaksin kepada kanak-kanak, sebaliknya ia melalui kajian dan data untuk menjamin keselamatan golongan berkenaan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, selain itu Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat sudah pun meluluskan vaksin kanak-kanak ini pada Oktober tahun lalu dan pakar mengambil masa beberapa bulan untuk kajian dan melihat data daripada negara lain.

PETUGAS melakukan persiapan bagi menerima kedatangan 231 kanak-kanak yang akan menerima vaksin Covid-19 di PPV IDCC Shah Alam. FOTO Bernama
PETUGAS melakukan persiapan bagi menerima kedatangan 231 kanak-kanak yang akan menerima vaksin Covid-19 di PPV IDCC Shah Alam. FOTO Bernama

Katanya, pihaknya juga sudah mendapat data bagi kegunaan sebenar dan dapati bahawa tidak ada banyak kesan sampingan yang serius.

"Kita sudah lihat selama beberapa bulan vaksin ini memang selamat," katanya

"Pada hari ini, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Untuk Kanak-Kanak (PICKids) untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun akan dimulakan.

"Vaksin mRNA iaitu Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) akan digunakan. Vaksin Comirnaty formular khas untuk kanak-kanak ini diluluskan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia, adalah selamat dan mempunyai efikasi melindungi kanak- kanak daripada jangkitan teruk Covid-19," katanya pada Majlis Pelancaran PICKids di Hospital Tunku Azizah di ibu negara hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Khairy berkata, pemberian vaksin Covid-19 adalah secara sukarela dan ibu bapa atau penjaga perlu memberi kebenaran bertulis bagi melayakkan anak mereka mendapat vaksinasi Covid-19.

Katanya, sebagaimana vaksin dewasa dan remaja, vaksin Covid-19 kanak-kanak akan diberikan secara percuma kepada semua kanak-kanak yang tinggal di Malaysia tanpa mengira status kewarganegaraan mereka.

"Kementerian Pendidikan Malaysia turut bekerjasama dengan KKM dalam pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak menerusi pemberian secara jangkau luar di sekolah. Kerjasama ini akan melibatkan sekolah-sekolah yang dikenal pasti untuk dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekolah," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya program vaksinasi yang antara terbaik di dunia, rakyat di negara ini boleh menjalani kehidupan yang lebih bebas berbanding tahun lalu.

Menurutnya, menuju ke arah endemik, perkara yang paling penting ialah melindungi golongan yang berisiko tinggi.

"Ini sudah pasti golongan warga emas, sebab itu saya selalu merayu supaya mereka menerima dos penggalak mereka.

"Dan kita hendak beri perlindungan kepada golongan kanak-kanak kerana sebelum ini tidak ada vaksin yang diluluskan untuk diberikan kepada mereka. Kita dapat berikan kepada mereka yang berumur lima hingga 11 tahun iaitu seramai 3.6 juta.

"Golongan ini sangat penting kerana walaupun jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak tidak tinggi berbanding dewasa, ratusan ribu juga dan apa yang paling kita risau adalah jangkitan yang serius di kalangan kanak-kanak seperti komplikasi Multisystem Inflammation Syndrome in Children (MIS-C) yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi," katanya.

Menurutnya, 1,200 kanak-kanak juga akan menerima vaksinasi melalui tempahan janji temu vaksinasi di tiga PPV Integrasi di Lembah Klang iaitu di World Trade Centre, Kuala Lumpur, Axiata Arena, Bukit Jalil; dan Ideal Conventional Centre, Shah Alam, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 11:42 AM