Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan merasmikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) peringkat negeri Kelantan yang bermula hari ini. FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan merasmikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) peringkat negeri Kelantan yang bermula hari ini. FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Hanya 5,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Kelantan mendaftar untuk menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), setakat kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah itu sangat rendah berbanding keseluruhan kanak-kanak yang layak menerima vaksin adalah lebih 115,000.

Justeru katanya, pihaknya perlu berusaha untuk meyakinkan ibu bapa mengenai kepentingan pengambilan suntikan vaksin dalam usaha mencegah Covid-19.

"Daripada jumlah lebih 115,000 kanak-kanak yang layak menerima vaksin, kita menyasarkan 50 peratus kanak-kanak menerima vaksin jenis Pfizer yang bermula hari ini.

"Setakat kelmarin, kita menerima maklumat daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), jumlah kanak-kanak yang bersetuju untuk menerima vaksin hanya 5,000 orang sahaja.

"Kebanyakan ibu bapa juga dikatakan belum menyerahkan borang pendaftaran suntikan vaksin kepada pihak sekolah dan kita berharap lebih ramai ibu bapa yang bersetuju selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan PICKids Peringkat Kelantan di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, pihaknya juga percaya kebanyakan ibu bapa mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membenarkan anak mereka menerima vaksin.

"Untuk suntikan PICKids, kita menyediakan lebih 400 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Kelantan termasuk sekolah swasta.

"Bagaimanapun, jumlah PPV berkenaan berubah-ubah bergantung kepada sambutan PICKids.

"Untuk ibu bapa yang pada awalnya tidak bersetuju, namun mengubah keputusan selepas itu, mereka boleh 'walk-in' ke mana-mana PPV untuk menerima vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 11:58 AM