S Vijaya Rao menyampaikan sijil penghargaan kepada anggotanya pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara. FOTO ihsan IPD KLANG UTARA
S Vijaya Rao menyampaikan sijil penghargaan kepada anggotanya pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara. FOTO ihsan IPD KLANG UTARA
Ruwaida Md Zain


Klang: Tidak beri muka apabila seramai enam anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang terbabit kes dadah, pemerasan dan cabul sepanjang September tahun lalu hingga bulan ini diambil perhatian serius.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan masih berjalan terhadap salah laku terbabit sebelum tindakan diambil ke atas anggota polis terbabit.

"Sepanjang saya berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah sejak September tahun lalu, ada enam kes anggota terbabit kes seperti dadah, pemerasan, pencabulan.

"Belum tuduh di mahkamah, masih dalam siasatan dan menunggu laporan berkaitan..bila sudah lengkap siasatan, kita akan rujuk Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

"Kalau tiada pertuduhan, mungkin akan diarahkan untuk tindakan dalaman," katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di Balai Polis Kapar, di sini, tadi.

Vijaya berkata, kadar peratusan mereka terbabit dalam salahlaku itu hanya 0.1 peratus daripada keseluruhan 625 anggota dan pegawai di bawah pentadbiran IPD Klang Utara.

Mengulas mengenai perhimpunan berkenaan katanya, beliau menghargai

komitmen yang ditunjukkan pegawai dan anggota malah mengingatkan mereka supaya sentiasa berhati-hati, berintegriti menjaga nama baik pasukan dan IPD Klang Utara.

"Seramai 40 pegawai kanan polis, pegawai pangkat rendah dan pegawai awam menerima surat penghargaan di atas tugas dan tanggungjawab yang diberikan.

Dalam pada itu katanya, IPD Klang Utara berjaya mencapai kadar peratusan 40 peratus pertuduhan seperti Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

"Kita terus memastikan keselamatan rakyat dengan memfokuskan kepada jenayah harta benda seperti pecah rumah, ragut dan curi kenderaan yang menyumbang kepada indeks jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 5:35 PM