Foto hiasan
Foto hiasan
Ruwaida Md Zain
am@metro.com.my

Klang: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menerima sebanyak 35 laporan polis membabitkan pemerasan video bogel sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara S Vijaya Rao berkata, semua laporan kes terbabit dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

"Daripada 35 laporan polis yang dibuat, polis berjaya membuat 18 tangkapan setakat ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, modus operandi kumpulan itu adalah mencari mangsa yang melayari laman sesawang 'chatting' dengan wanita.

"Wanita terbabit kemudian akan meminta pengadu menghubunginya melalui panggilan video dan meminta pengadu melakukan onani atau perbuatan lucah.

"Suspek akan merakam perbuatan mangsa dan tidak lama selepas itu akan menghubunginya untuk memeras ugut," katanya.

Vijaya Rao berkata, terkini pihaknya menerima laporan pemerasan video bogel daripada seorang mangsa lelaki berusia 23 tahun pada 9.22 pagi Ahad lalu.

"Mangsa adalah lelaki tempatan dan bekerja sebagai penyelia pasar raya, dia berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Line.

"Pada hari sama, mangsa dihubungi seorang lelaki tidak dikenali menggunakan nombor telefon sama.

"Lelaki terbabit mengugut mangsa dengan menyatakan dia mempunyai gambar dan video mangsa tanpa pakaian, meminta sejumlah wang untuk memadam gambar atau video terbabit," katanya.

Oleh itu, menurutnya, orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket ini malah polis juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas perkara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 7:25 PM